Wednesday, February 20, 2013

ISMA Oh ISMA...

Baru-baru ini hamba telah dikejutkan dengan sebuah berita mengenai penyertaan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ke dalam arena politik negara. Badan bukan kerajaan tersebut yang dikenali sebagai Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ini bukan sahaja aktif dalam bidang pertarbiyahan anak-anak muda di bumi ini, malah turut lantang dalam mempertahankan hak-hak orang Islam terutamanya hak-hak orang Melayu Muslim.

Secara umumnya pada hamba ianya adalah satu usaha yang sangat baik dan wajar diteruskan bagi melahirkan generasi muda yang faham Islam secara menyeluruh dan praktikal dalam hidupnya. Tapi ada satu perkara yang hamba kurang bersetuju iaitu mengenai penglibatannya ke dalam arena politik negara. 

Di sini sebelum hamba menyatakan pendapat hamba, ingin hamba ingatkan bahawa komen hamba bukan bertujuan untuk men'kondem' apatah lagi memburukkan pertubuhan tersebut. Tetapi ianya sekadar pendapat peribadi hamba yang sangat fakir lagi dhoif berhubung isu ini. (hamba minta maaf awal-awal bagi yang kurang bersetuju dengan hamba)

Jadi kenapa hamba berpendapat sedemikian?

1. Sebenarnya melalui pengamatan hamba terhadap pertubuhan ini, sebelum ini mereka tidak pernah sesekali mengiktiraf perjuangan untuk membawa Islam melalui sistem demokrasi sedia ada kerana ianya merupakan sebuah sistem ciptaan barat dan tidak pernah wujud dalam pensyariatan Islam. Banyak siri artikel yang telah diterbitkan berkenaan isu ini bagi menjelaskan tentang pengaruh penjajahan baru barat terhadap Islam melalui sistem demokrasi ini.

Namun, apa yang mengejutkan ialah mereka dengan sendirinya telah mengisytiharkan diri untuk terlibat sama dalam pentas politik walhal ianya jelas 180 darjah bahkan 540 darjah bertentangan dengan pendirian mereka  sebelum ini . Walaupun tidak bertanding atas platform sendiri, namun penglibatan ahli-ahli mereka sudah cukup untuk membuktikan bahawa mereka sendiri telah mencemari pendirian mereka. Tindakan mereka ternyata tidak selari dengan pendirian mereka selama ini dan ianya membuatkan hamba keliru tentang apakah pendirian mereka yang sebenarnya.

Adakah kerana Ikhwanul Muslimin (IM) di Mesir mengambil keputusan untuk masuk ke pentas politik pada tahun lepas, maka mereka pun menukar pendirian mereka untuk turut sama mengikut jejak langkah pertubuhan Islam yang masyhur itu? Ini cuma andaian hamba, bukan fakta (don't take this as an argument)

2. Seterusnya, hamba masih lagi tidak jelas tentang apakah sebenarnya yang ingin diperjuangkan oleh pertubuhan ini. Slogan Melayu Sepakat Islam Berdaulat (MSIB) dahulu seringkali didendangkan bagi menyampaikan dakwah/ideologi mereka kepada masyarakat . Kini satu lagi slogan berbunyi 'Arus baru' mula dimainkan bagi menyampaikan ideologi mereka dalam arena politik. Jadi apakah makna disebalik setiap slogan ini?

MSIB sudah jelas maknanya iaitu menyeru umat Melayu Islam di Malaysia supaya bersatu demi mempertahankan dan meninggikan martabat Islam. Satu anjuran atau seruan yang baik dan hamba juga menerimanya sebagai meraikan usaha untuk memartabatkan Islam. Tetapi satu perkara yang hamba tidak jelas, kenapa mesti terlalu fanatik dengan bangsa Melayu seakan-akan ianya diberi prioriti yang lebih dalam semua hal bahkan dikuatkan lagi kaitannya dengan Islam. Sebagai contoh:

"ada hikmahnya kenapa bangsa melayu di semenanjung tanah melayu Islamkan ( hampir 100%)...kenapa bukan bangsa siam?....kenapa bukan org filipina?...kenapa Allah jadikan manusia berbangsa2 dan berpuak?....kenapa bangsa melayu?...apakah perancangan Allah?....apa kelemahan dan kekutan bangsa melayu sehingga di berikan amanah yg begitu besar?..."

Pada hamba ini satu pemikiran yang naif dan bercelaru. Allah jadikan setiap hambanya pada dasarnya semua sama, tiada yang lebih dan tiada yang kurang. Hanya taqwa sahaja yang menentukan darjat kita disisi Allah swt. Jika hendak dikatakan ada bangsa yang istimewa, hamba lebih senang untuk mengatakan bangsa Arab paling istimewa kerana Nabi Muhammad saw lahir dan dibesarkan dalam kelompok orang Arab, malah bahasa yang mereka gunakan adalah bahasa syurga dan mereka memahami al-Quran lebih dari kita memahaminya. 

Namun Islam tidak mengajar kita semua itu, bahkan perjuangan bangsa itu sendiri merupakan satu perjuangan yang taghut. Dari satu sudut yang lain pula, slogan ini pada hamba telah menyebabkan non-Malay sukar untuk menerima Islam kerana menganggap Islam itu eksklusif untuk orang Melayu sahaja. Jadi kesannya dakwah untuk menyeru mereka kepada Islam menjadi sukar. 

Walau bagaimanapun ini semua tidak menafikan hakikat bahawa hamba juga orang Melayu, berdarah Melayu, bercakap bahasa Melayu dan hidup mengunakan adat istiadat orang Melayu.

3. Berkenaan slogan 'Arus baru' pula, pada pembacaan hamba ianya lebih kepada cara atau method bagi meraih undi dan juga tuntutan terhadap siapa yang patut diundi menjelang PRU13 nanti. Arus baru lebih mengutamakan 'calon muslim yang berwibawa' tanpa mengira parti politik mana yang diwakili oleh calon. Pada hamba ianya satu seruan yang baik kerana mengutamakan calon muslim.

Tapi jika diperhalusi lagi isu ini sebenarnya banyak lagi faktor-faktor yang boleh diambil tentang siapa pilihan kita dalam PRU13 nanti. Untuk perkara ini hamba tidak mahu komen lebih kerana hamba bukanlah orang yang berada pada tempatnya jadi cukuplah sekadar hamba sertakan satu pandangan yang hamba copy dari FB (link). Dan bagi yang ingin tahu lebih berkenaan seruan 'Arus baru' boleh tekan pada (link).


Satu pandangan politik yg sgt menarik :

Dalam kelas bersama Fadhilatus Syaikh Prof Dr Ra'fat Uthman Hafizahullah di Darul Ifta' sebentar tadi saya bertanya soalan

(Fadhilatus Syaikh merupakan salah seorang Anggota Hai'ah Kibar Ulamak Al-Azhar As-Syarif,Dekan Kuliah Syariah Wal Qanun Al-Azhar As-Syarif sebelum ini.

Beliau disebut oleh Fadhilatus Syaikh Ali Jum'ah Hafizahullah sebagai salah seorang Ahli Ilmu yang Besar di Mesir dan Seorang Faqih Muhaqqiq Mudaqqiq) :

"Sekiranya ada dua Calon yang bertanding Kerusi Parlimen,Seorangnya Muslim tetapi mempunyai rekod pentadbiran yang buruk dan penyelewengan dan seorang lagi pula adalah Calon Bukan Muslim tetapi rekod pentadbiran dan pengurusannya baik dan telus.

Bolehkah saya memberikan Undi kepada Calon Bukan Muslim tersebut?"

Fadhilatus Syaikh Hafizahullah menjawab :

"Ya. Boleh. Takkanlah kita ingin memberikan amanah kepada mereka-mereka yang akan merosakkan dan tidak membawa maslahah kepada negara?

Sekiranya bukan Muslim tersebut mampu melaksanakan tugas dengan baik membawa kebaikan buat negara dan Calon Muslim pula sebaliknya,kita perlu memberikan undi kepada yang boleh membawa kebaikan buat negara.

Sekiranya awak ada harta dan tanah yang ingin diuruskan,dan ada dua calon yang meminta untuk menguruskannya,seorangnya Muslim tetapi tidak pandai mengurus dan seorang lagi Bukan Muslim tetapi mampu mengurus,pastilah tugas tersebut perlu diberi kepada Bukan Muslim yang mampu mengurus."

Saya bertanya lagi :

"Ada yang berhujah dengan Ayat Al-Qur'an yang melarang Golongan Mukmin mengambil 'Wali' selain dari Mukmin."

Fadhilatus Syaikh menjawab :

"Ahli Parlimen bukanlah 'Wali Amri'. Ahli Parlimen mempunyai tugas yang kita semua maklum di Dewan Rakyat contohnya membincang dan memberi pandangan ketika penggubalan undang-undang (dan membincangkan belanjawan negara dll).

Ahli Parlimen bukanlah 'Wali' sebagaimana yang dinyatakan oleh Ayat tersebut"

Begitulah lebih kurang perbicangan dan jawapan oleh Fadhilatus Syaikh Hafizahullah.

Tujuan saya berkongsi perbincangan ini bukanlah untuk fokus kepada isi jawapan beliau.

Tujuan utama saya adalah untuk menunjukkan perbezaan yang sangat ketara apabila 'Ahli Ilmu dan Faqih' berbicara soal hukum hakam berbanding 'Mereka yang tidak berkeahlian' yang cuma bercakap atas dasar semangat dan sentimen.

Berhati-hatilah wahai sahabat-sahabat sekalian dalam berbicara Soal Hukum Hakam dan bercakap dengan Ayat-Ayat Allah.

Ianya adalah Amanah.

Amanah itu perlu kepada 'Quwwah'.

'Quwwah' dalam berbicara soal hukum hakam adalah 'Lengkapnya diri dengan Ilmu-Ilmu yang disyaratkan oleh Para Ulamak Ummah untuk melayakkan seseorang berbicara soal hukum hakam'.

Semoga Allah melimpahkan RahmatNya yang berpanjangan buat Para Ulamak Al-Azhar As-Syarif dan Semua Ulamak Ummah yang Benar dan Mukhlisin.yang telah mengajar dan mendidik kami erti Amanah dan Beradab dengan Ilmu.




4. Yang terakhir hamba lebih cenderung untuk mengatakan bahawa Jemaah Islam pada asalnya ialah satu (tidak berbilang-bilang). Membahaskan soal berbilang jemaah (taadud) ini cukup luas dan perlukan kepada suatu perbincangan pada ruangan yang lebih khusus. Tapi cukuplah hamba katakan bahawa 'it's nice' dalam sesebuah negara untuk mempunyai satu Gerakan/Parti Islam sahaja. Taadud dibolehkan selagi mana ia berpayung dibawah satu rumpun yang besar dan tidak membawa mudarat kepada perjuangan dan pelaksanaan Islam. 

Pendapat hamba ini adalah berdasarkan pandangan ulama-ulama berkenaan taadud yang InsyaaAllah hamba yakin pada ijtihad mereka. Antaranya ialah: (link)


PENDAPAT YANG TIDAK MENGHARUSKAN TAADUD:

(1) Al-Ustaz Fathi Yakan.


“Lapangan Islam telah menyaksikan kelahiran harakah-harakah, tanzim-tanzim , persatuan-persatuan dan golongan-golongan Islam di atas ruang lingkup yang luas. Meskipun setengah orang berpendapat dan mengira demikian (taadud jamaah) satu fenomana sihat, sesungguhnya di sepanjang kafahaman syara’ untuk amal islami, penentuan sahih bagi maslahah Islamiayyah dan tindakan susulan terhadap apa yang berlaku, saya mengira taadud jamaah sebagai fenomena berpenyakit dan bahaya serta diperingatkan dengan akibat-akibat yang dahsyat yang tidak diketahui penghujungnya melainkan Allah.” 


(2) Sheikh Husein bin Muhsin bin Ali Jabir.


“Saya tertarik bahawa taadud jamaah pada umat Islam batil (salah) yang wajib hilang. Sesungguhnya kewajipan pada keyakinan saya, bahawa dicurahkan segala usaha umat seluruhnya di dalam satu bahtera dan satu hala tuju. Isyarat ini berpaling kepada bahtera itu yang wajib menghimpunkan setiap peribadi yang bekerja untuk mengembalikan khilafah kepada umat Islam.”


PENDAPAT HARUS TAPI BERSYARAT:


(1) Ustaz Mustaffa Masyhur (Mursyidul Am Ikhwan Muslimun Mesir)


[Al-Marhum  telah meninggal dunia pada 29 Oktober 2002,  menjadi Mursyidul Am Ikhwan yang ke-5]
“Adapun kewajipan dan pendirian kami tentang jamaah-jamaah dan organisasi-organisasi (selain Ikhwan Muslimun) ialah apa yang diperluaskan oleh agama kami (Islam) daripada sifat kasih sayang, mawadah, nasihat-menasihati, bantu-membantu di atas asas kebajikan dan takwa dan mengelak perselisihan dan pertelingkahan serta berusaha untuk bersatu kerana melaksanakan firman Allah (9)

واعتصموا بحبل الله جميعا ولا تفرقوا

Maksudnya : “ Dan berpegang teguhlah kamu dengan tali Allah (ugama Allah) dan janganlah kamu bercerai berai .”
(surah Ali Imran : 103) 


(2) Dr. Solah Sowi.


“Sesungguhnya taadud jamaah yang diterima di lapangan amal Islami terkini ialah taadud takhasus dan berjenis-jenis (تعدد تخصص وتنوع), bukan taadud pertentangan dan perlawanan (تعدد تضاد وتناقض) Adapun taadud yang memecahkan wala‘ umat di antara pertubuhan-pertubuhan, meretakkan barisan dan laknat-melaknati di antara manusia merupakan wabak dan kecelakaan yang mengubah waqi’ kepada fitnah dan menghamparkan jalan kepada pendapat untuk menyendiri (beruzlah) daripada semua”.


(3) Dr. Yusof Al-Qardawi



“Tiada halangan taadud jamaah yang beramal untuk Islam, selama-mana keuzuran untuk mewujudkan kesatuan dengan sabit kelainan matlamat-matlamat, kelainan manhaj-manhaj, kelainan kefahaman-kefahaman dan kelainan thiqah terhadap setengah yang lain, berdasar taadud takhasus dan berjenis (تعدد تنوع وتخصص) dan bukan taadud pertentangan dan perlawanan (تعدد تضاد وتناقض). Semuanya hendaklah berdiri di dalam satu saf pada setiap perkara yang mengembalikan kewujudan Islam, Aqidah Islamiah, Syariah Islamiah dan umat Islam.”

Akhir kata, tunggu sahajalah apa yang akan terjadi menjelang PRU13 ini. Yang penting ikhlaskan diri untuk perjuangan dalam menegakkan Islam. Semoga Allah melihat segala usaha kita ini dan memberikan limpah dan rahmat-Nya kepada kita semua. Pesanan penaja, tunaikan tanggungjawab kita pada PRU13 kali ini. Pilihlah pemimpin yang dapat memandu kita untuk berjumpa dengan Rasulullah saw di akhirat kelak. Wallahu'alam. 

~Wassalam~

(love this quote)

(nota kaki: hamba mintak maaf kalu ade ahli-ahli ISMA yang terasa)

No comments:

Post a Comment

Picture magnified

Haddad Alwi Doa'ku