Tuesday, January 8, 2013

N I A T - Hadith 1

~Assalamualaikum wbt~

Kali ni hamba nak kongsi sedikit ilmu yang hamba dapat hasil daripada perbincangan ataupun diskusi ilmiah dengan beberapa orang doktor di mana tempat hamba belajar beberapa bulan yang lalu. Dan di sini hamba tambah juga beberapa point yang hamba dapat dari internet sebagai pelengkap kepada tajuk entry kali ini.

Hamba sedikit terkesan apabila dalam majlis tersebut telah dibacakan sebuah hadith iaitu hadith pertama daripada kitab hadith 40 karangan Imam Nawawi. Hamba rasa ramai yang sudah tahu mengenai hadith ini yang mana sering kali ia dibacakan sebelum kita melakukan sesuatu perkara.




Hadith yang dimaksudkan berbunyi:

عَنْ أَمِيْرِ الْمُؤْمِنِيْنَ أَبِيْ حَفْصٍ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ قَالَ : سَمِعْتُ رَسُوْلَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يَقُوْلُ : إِنَّمَا اْلأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ وَإِنَّمَا لِكُلِّ امْرِئٍ مَا نَوَى . فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إِلَى اللهِ وَرَسُوْلِهِ، وَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُهَا أَوْ امْرَأَةٍ يَنْكِحُهَا فَهِجْرَتُهُ إِلَى مَا هَاجَرَ إِلَيْهِ

Dari Amirul Mu’minin, Abi Hafs Umar bin Al Khattob radiallahu 'anhu, dia berkata: Saya mendengar Rasulullah sallallahu’alaihi wasallam bersabda : Sesungguhnya setiap perbuatan bergantung kepada niatnya. Dan sesungguhnya setiap orang (akan dibalas) berdasarkan apa yang dia niatkan. Barang siapa yang hijrahnya karana (ingin mendapatkan keredhaan) Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya kepada (keredhaan) Allah dan Rasul-Nya. Dan barang siapa yang hijrahnya karana dunia yang dikehendakinya atau karana wanita yang ingin dinikahinya maka hijrahnya (akan bernilai sebagaimana) yang dia niatkan.


Sanad Hadith:


Hadith ini diriwayatkan oleh Yahya bin Sa'id al-Ansori secara bersendirian daripada Muhammad bin Ibrahim at-Taimi daripada 'Alqomah bin Abi Waqqos al-Laisi daripada Sayyiduna Umar bin al-Khattob radhiyallahu 'anhu. Hanya ini sahaja jalan periwayatan hadith yang benar-benar sohih berbanding dengan jalan-jalan periwayatan lain berkenaan hadith ini. Hadith ini turut diriwayatkan oleh sahabat-sahabat yang lain seperti Sayyiduna Abu Sa'id al-Khudri, Sayyiduna Abu Hurairah dan lain-lain namun hanya jalan periwayatan daripada Sayyiduna Umar sahaja yang sohih. Boleh rujuk di dalam kitab Muntahal Amal fi Syarh Hadith Innamal A'mal karangan al-Hafiz Jalaluddin as-Suyuti radhiyallahu 'anhu. (sumber)



Kepentingan Hadith:


Jadi berdasarkan matan hadith, jelas difahami bahawa ianya menekankan perkara berkaitan dengan niat dan ianya membawa maksud yang sangat penting kepada kita semua dalam melakukan setiap perkara dalam hidup kita. Ramai dalam kalangan para ulama telah membahaskan tentang peri pentingnya kandungan hadith ini terhadap kehidupan manusia. Ada yang mengatakan hadith ini merangkumi satu per dua daripada diri manusia, ada yang mengatakan satu per tiga dan ada juga yang mengatakan satu per empat.


Bagi yang membahaskan bahawa ianya satu per dua dari kehidupan manusia, mereka telah berhujah bahawa kehidupan manusia ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu bahagian dalaman (rohaniah) dan bahagian luaran (lahiriah). Seperti yang kita tahu, niat merupakan bahagian dalaman manusia yang mendorong kepada segala tingkah laku perbuatan manusia. Oleh sebab itulah kepentingan  hadith ini secara tidak langsung telah melengkapkan separuh daripada kehidupan manusia.

Adapun antara ulama yang menafsirkan bahawa hadith ini melengkapkan hidup manusia sebanyak satu per tiga dari kehidupannya adalah Imam Syafie ra. Beliau berhujah bahawa setiap amalan ataupun pekerjaan manusia itu terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu hati, lisan dan perbuatan. Dan hati adalah tempat terletaknya niat bagi seseorang sebelum melakukan sesuatu perkara. Jadi jelaslah di sini bahawa maksud disebalik hadith ini sangat besar dan penting nilainya.


Asbabul Wurud:

Seperti mana al-Quran mempunyai asbabul nuzul, iaitu sebab kepada turunnya ayat-ayat al-quran, maka begitu juga dengan hadith nabi saw yang mana disebut sebagai asbabul wurud ataupun sebab kepada timbulnya hadith nabi saw. Jadi sebab kepada timbulnya hadith ini diambil melalui sebuah kisah sewaktu penghijrahan nabi Muhammad saw ke Madinah yang mana pada itu waktu baginda saw telah ditanya tentang hukum seseorang yang berhijrah bukan kerana Allah dan rasulnya. Kisah tersebut mengenai penghijrahan seorang lelaki kerana ingin berkahwinkan seorang wanita idamannya.

Ibnu mas'ud menyebut: seorang lelaki telah melamar seorang wanita yang dipanggil Ummu Qais untuk memperisterikannya, wanita itu enggan berkahwin kecualilah lelaki itu sanggup berhijrah. Lantas lelaki itupun berhijrah kerana ingin memenuhi syarat wanita tersebut dan akhirnya mereka pun berkahwin. Lalu ia digelar Mujahir Ummu Qais. (sumber)

Menurut riwayat at-Tobaroni pula, maksudnya, "Dalam kalangan kami ada seorang lelaki yang meminang seorang wanita bernama Ummu Qais. Namun beliau enggan menerima pinangan lelaki tersebut melainkan jika lelaki itu berhijrah. Lalu si lelaki pun berhijrah dan akhirnya berkahwin dengan Ummu Qais. Kerana itu kami memanggilnya Muhajir Ummu Qais." (sumber)


Pengajaran Hadith:


Jadi hadith ini sebenarnya mengajar kepada kita tentang keikhlasan dalam membuat sesuatu pekerjaan atau perintah oleh Allah swt. Ikhlas merupakan suatu amalan yang sangat subjektif dan ia tidak dapat dinilai dari sudut luaran. Orang lain tidak mampu untuk menentukan samaada setiap pekerjaan kita itu ikhlas ataupun tidak hatta kita juga belum tentu tahu samaada amalan kita sendiri itu ikhlas ataupun tidak.

Kita mungkin melakukan sesuatu kerana Allah namun kadangkala kita juga seringkali terperangkap dengan mainan syaitan yang menghasut kita supaya bersikap ujub atau kagum dengan amalan sendiri. Sebagai contohnya, kita bangun pada satu per tiga malam untuk melaksakan qiam dan diniatkan ikhlas kerana Allah taala, namun akibat lalai dan terperangkap dengan mainan syaitan kita akhirnya secara sengaja mungkin akan menceritakan amalan kita itu kepada orang lain semata-mata ingin menunjukkan amalan kita. 

Jadi persoalan keikhlasan ini hanya Allah sahaja yang dapat menilainya dan kita haruslah berhati-hati agar setiap perkara yang dilakukan itu mendapat keredhaan Allah swt. Selain daripada itu, kita juga haruslah berwaspada dengan jarum-jarum suntikan syaitan yang sentiasa mencuba untuk menyesatkan kita dengan pelbagai cara termasuk cara yang paling halus iaitu riak. Dan riak itu termasuk dalam amalan syirik, iaitu syirik kecil yang mana ianya merupakan racun kepada amalan dan merosakkan pahala amalan kita.

Oleh sebab itu perlulah kita untuk sentiasa berwaspada dan berhati-hati dalam melakukan sebarang urusan. Jangan kerana perkara kecil seperti riak atau ujub itu menjadi penyebab kepada ke'muflis'an kita di akhirat kelak.




Kesimpulan Hadith: (sumber)
  1. Setiap amalan mestilah dilakukan dengan niat ataupun mesti berlaku dengan niat kecuali amalan yang tidak disengajakan.
  2. Niat adalah merupakan neraca, penegak serta ruh kepada sesuatu amalan dan mana-mana amalan tanpa niat tidak akan mendatangkan apa-apa hasil.
  3. Untuk memastikan amalan seseorang itu diterima, maka niatnya mestilah ikhlas kerana Allah semata-mata.
  4. Seseorang itu mestilah menentukan apakah amalan yang diniatkannya.
  5. Seseorang itu mungkin melakukan satu amalan dengan beberapa niat, tetapi Allah akan menilai semua niat-niat tersebut.
  6. Setiap amalan itu akan dibalas berdasarkan kepada niatnya (diterima, ditolak) tanpa mengira sebesar mana amalan yang telah dilakukan sekalipun Hijrah.
  7. Dunia dan wanita merupakan dua ujian yang besar kepada umat ini kerana itulah nabi saw menyebutkan kedua-duanya sebagai halangan kepada keikhlasan kepada Allah. Dalam sebuah hadith nabi bersabda "setiap umat itu mempunyai ujiannya masing-masing dan fitnah untuk umatku adalah harta (dunia)" riwayat (Tarmiz, Ahmad). dan dalam hadith lain menyatakan "aku tidak tinggalkan selepasku fitnah yang lebih merbahaya kepad lelaki daripada wanita" (Bukhari, Muslim)

~Wassalam~

p/s: Selamat Menyambut Tahun Baru 2013

No comments:

Post a Comment

Picture magnified

Haddad Alwi Doa'ku