Sunday, March 1, 2015

Menulis Di atas Pasir

Bismillah.

InsyaAllah kali ni nak berkongsi sebuah cerita yang ambe pernah baca sebelum ini. Mudah-mudahan bermanfaat.

Pada suatu masa, terdapat 2 orang sahabat baik yang sedang dalam perjalanan merintangi sebuah padang pasir. Dalam perjalanan itu mereka bertengkar, lalu salah seorang daripada sahabat itu menampar pipi sahabatnya itu. Sahabat yang ditampar tadi berasa sedih dan marah, namun dia tidak membalas perbuatan sahabat baiknya itu. Kemudian dia mengambil sebatang kayu lalu ditulisnya di atas pasir "HARI INI, SAHABAT BAIKKU TELAH MENAMPAR MUKA KU". Selepas itu mereka pun meneruskan perjalanan seperti biasa.

Setelah lama berjalan, akhirnya mereka tiba di suatu gurun. Di sana terlihat sebuah oasis yang cukup indah dan damai. Tanpa berlengah, sahabat yang ditampar tadi terus meluru ke oasis tersebut dan berenang di dalamnya. Ketika sedang berenang, tiba-tiba sahabat itu lemas lalu dia pun diselamatkan oleh sahabat baiknya itu. Saat ia tersedar daripada lemasnya, lalu dia menulis di atas sebuah batu "HARI INI SAHABAT BAIKKU TELAH MENYELAMATKAN AKU". 

Sahabatnya lalu bertanya, "sebelum ini kenapa engkau menulis di atas pasir? Dan sekarang kenapa sekarang engkau menulis di atas batu?" Lalu jawab sahabatnya itu "aku menulis di atas pasir dengan harapan apabila angin bertiup nanti ia akan memadamkan tulisan itu dengan angin kemaafan dan membawa pergi perasaan duka itu. Adapun sekarang aku menulis di atas batu kerana aku mahu ianya kekal terpahat di situ walaupun ditiup angin kencang, kerana aku mahu ianya kekal dalam ingatan ku".


Pengajaran:

Begitulah dalam kehidupan ini, kita tidak mampu untuk meramalkan apa yang bakal terjadi kepada kita. Berkawan baik belum tentu menjaminkan kita akan sentiasa gembira dan senang apabila berada di sisi sahabat kita. Boleh jadi kita akan di kecewakan oleh dia dan boleh jadi juga kita yang akan mengecewakan dia. Itulah kehidupan, ianya tidak seindah apa yang kita bayangkan. Pentingnya untuk sentiasa berlapang dada apabila berbeza pandangan dan jangan sampai dibiarkan nafsu menguasai diri. 'Oleh itu, belajarlah menulis di atas pasir'.


No comments:

Post a Comment

Picture magnified

Haddad Alwi Doa'ku