Saturday, February 28, 2015

Segenggam Garam

Bismillah.

Dalam hidup ini kita pasti tidak akan terlepas daripada masalah dan kesulitan. Setiap orang pasti akan diuji oleh Allah. Dan setiap ujian itu berbeza-beza antara setiap orang. Namun kita kena yakin bahawa ianya memang sesuai dengan kemampuan yang Allah berikan pada individu tertentu . 

Seringkali apabila diuji dengan kesusahan atau kegagalan pasti hati akan menjadi sempit, terasa seperti dihimpit-himpit sehingga tiada lagi jalan keluar. Masa itu mungkin putus asa adalah satu-satunya jalan yang terpapar dalam fikiran.

Tapi, ternyata itu adalah pilihan yang salah. Masalah ataupun kesulitan ini cuba kita ibaratkan seperti segenggam garam. Cuba kita larutkan segenggam garam itu dalam sebuah gelas yang berisi air kemudian kita minum airnya. Bagaimana rasanya? Tentu masin kan.

Kemudian ambil lagi segenggam garam dan larutkan ia ke dalam air telaga atau dan minum airnya. Pasti rasa air tersebut tidak berubah, betul tak? Padahal kuantiti dan rasa garam yang diletakkan adalah sama.

Samalah juga diri kita, masalah yang hadir tu tetap sama dan tidak akan berubah, tetapi sejauh mana kita mengisi masalah itu dalam diri hati kita. Andai hati kita sebesar sebuah gelas sudah pasti peritnya masalah itu sangat terasa, namun andai hati kita seluas telaga, masalah yang dihadapi itu pasti tidak akan terkesan pada diri kita. 

Oleh itu, lapangkanlah hati kita dalam menerima apa-apa masalah dalam kehidupan. Luaskan hati kita dengan bersangka baik di atas semua perkara, insyaaAllah masalah yang hadir itu pasti akan mampu diatasi. Disebalik masalah yang datang itu sebenarnya terselit banyak hikmah yang tidak kita ketahui. Sungguh, Allah manjadikan ujian untuk hambaNya berseseuaian dengan kemampuan mereka. Semoga bermanfaat


(Garam ni pahit ke masin rasanya? Huhu)

Monday, February 16, 2015

Kami Pasti Akan Merinduimu


Firman Allah Taala: Maksudnya:
"Di kalangan orang yang beriman itu adanya pejuang hebat yang benar terhadap janjinya kepada Allah. Dikalangan mereka ada yang telah syahid dan dikalangan mereka ada yang masih menunggu sebagai syuhada’ dan mereka sesekali tidak menukar prinsip perjuangan mereka." (Al-Ahzab: 23)


Allahu, kagum dengan orang yang benar-benar telah melaksanakan janji mereka padaNya sampai saat Allah menjemput mereka kepadaNya. Sungguh hebat sifat Istiqomah mereka. Pemergian mereka bukan sekadar dengan jasad yang kaku, bahkan menghidupkan hati yang mati, melembutkan hati yang keras dan mengejutkan hati yang alpa.



Diriku pula? Adakah dapat istiqomah seperti mereka? Jangan kata nak beristiqomah, tapi benarkah aku ni dari kalangan mereka? Takut-takut hati ini tidak membenarkan kata-kata yang sering diucapkan selama ini. Allahu mintak-mintak dijauhkan. Na'uzubillahiminzaalik



Damailah dikau disana menemui Sang Pencipta wahai Murobbi. Telah tiba masa untukmu berehat setelah sekian lama mengharungi kesusahan dunia ini, di fitnah, di hina  dan sebagainya kerana engkau ingin menegakkan kalimah Allah ke tempat yang tertinggi. Hilangmu sukar di cari ganti. Pada diri mu terdapat suri tauladan yang baik untuk kami ikuti. Semoga kami jua mendapat nikmat istiqomah pada jalanNya seperti mana yang Allah kurniakan padamu. Semoga Allah merahmati mu wahai Tok Guru.


12 Februari 2015, 9.40 pm

23 Rabiul Akhir 1436H

Dato Bentara Setia TGNA (1931-2015)

Picture magnified

Haddad Alwi Doa'ku