Assalamualaikum WBT.
Sungguh lama laman ini terbiar tidak bertuan. Maklumlah hamba ini bukannya seorang yang suka menulis melainkan ini sekadar satu wardah untuk hamba melontarkan pandangan, berkongsi ilmu ataupun meluahkan perasaan.
Alhamdulillah, hari demi hari, mingu demi minggu dan bulan demi bulan, hamba kini telah pun menginjak kaki di tahun akhir pengajian. Sungguh banyak memori yang telah berlalu dalam tempoh sepanjang hampir 5 tahun hamba menuntut ilmu di bumi UniSZA ini.
Di sinilah tempat hamba belajar tentang erti sebuah persahabatan, perjuangan, pergorbanan dan juga erti kegagalan selain daripada menuntut ilmu semata-mata. Sungguh banyak kenangan yang tercipta di sini yang mana ianya cukup berharga buat hamba dalam melayari hidup ini untuk menggapai cita-cita yang didokong sejak kecil lagi, iaitu untuk menjadi seorang doktor.
Namun itu semua belum cukup bagi hamba untuk manggapai cita-cita hamba yang paling tinggi, iaitu untuk menjadi orang yang berjaya. Seseorang muslim itu hanya dikatakan berjaya andai destinasi terakhirnya nanti apabila mereka dapat beristirehat di dalam syurga bersama para anbiya' , auliya' dan juga orang-orang soleh. Untuk tujuan itu, mendapat keredhaan Allah adalah misi kehidupan kita di atas dunia ini.
Walaubagaimanapun hamba sedar yang itu semua hanyalah angan-angan kosong semata-mata jika sekiranya ia tidak disertakan dengan satu tindakan yang wajar untuk ditukarkan dengan nilai sebuah syurga itu. Dan hamba amat yakin segala amalan-amalan baik kita di atas dunia ini belum tentu dapat kita tebuskan dengan nilai sebuah syurga yang sudah tentu tidak ternilai harganya.
Oleh sebab itu Allah yang Maha Pemurah, yang tahu akan batasan kemampuan hambanya itu tidak akan sesekali membiarkan kita begitu sahaja. Di dalam surah As-Sof ayat 10-11, Allah telah pun manawarkan satu perniagaan yang sangat baik buat kita semua, yang mana dengannya ia boleh menyelamatkan kita dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya; iaitu dengan kita beriman kepada Allah dan rasulNya, berjuang menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri sendiri.
Inilah apa yang dapat hamba lihat terdapat pada diri seorang Murobbi yang sangat hamba kasihi dan hamba cintai kerana Allah iaitu al marhum TG Haji Harun Tayyib. Al marhum telah pun pergi menghadap Ilahi pada 25 Januari 2014 lalu (semalam) lebih kurang jam 12.00 tengah malam. Pengalaman bertemu dengan al marhum sebanyak 2 kali sangat bermakna buat diri hamba kerana itulah pertama kali dalam hidup hamba dapat bersua muka dengan seorang tokoh ulama haraki yang cukup banyak memberikan sumbangan dalam gerakan Islam di negara ini.
Sungguh, banyak sekali mutiara kata yang dapat hamba kutip dari al marhum. Masih hamba ingat dalam salah satu pertemuan dengan al mathum, biarpun dalam keadaan yang sangat uzur sehingga terpaksa bergantung dengan tongkat yang berkaki empat, beliau tetap jau menggagahkan diri untuk berjumpa dengan kami semua. Dalam pertemuan yang singkat itu, al marhum telah merungkaikan segala persoalan yang tersimpul dalam benak kami malah beliau turut memberi nasihat dan juga taujihat sebagai bekalan buat kami anak-anak muda yang bakal menempuh jalan yang penuh dengan mehnah dan tribulasi sepanjang jalan dakwah ini.
Hamba masih ingat, satu analogi yang pernah al marhum berikan kepada kami bagi menjawab satu persoalan berkaitan isu semasa. Kata al marhum, "Harakah Islamiyyah ini ibarat sebuah bangunan hospital yang besar, dan peranan para ulamak ibarat doktor yang memberikan ubat pada para pesakit. Kita menerima pesakit tanpa memilih-memilih. Biasalah, kadang-kadang pasti ada pesakit yang degil tidak mendengar nasihat". Satu analogi yang sangat jelas dan mudah bagi kami semua selaku daie-daie muda dalam usaha melaksanakan dakwah terhadap orang-orang sekeliling. Pada hamba ianya sangat membantu kami dalam mengenal realiti dakwah yang sebenar-benarnya.
Banyak lagi mutiara-mutiara kata al marhum yang sangat bernilai buat kami, cukuplah sekadar ini sahaja yang hamba kongsikan dalam entri kali ini.
Semalam (25 Januari 2014), hamba bersama sahabat-sahabat pergi menziarahi al marhum buat kali terakhir bagi menyempurnakan hak seorang muslim ke atas muslim yang lain iaitu menghantarkan jenazahnya ke kubur apabila ia meninggal dunia. Subhanallah, sungguh ramai manusia yang hadir pada pagi itu bagi menunaikan solat jenazah buat al marhum dan juga mengiringi perjalanan terakhir al marhum. Kata salah seorang sahabat hamba, "jika solat jenazah seseorang itu dihadiri lebih daripada 40 orang, maka insyaaAllah dia akan di tempatkan di syurga". Dihadapan mata hamba pada waktu itu bukan setakat lebih daripada 100 orang, bahkan beribu-ribu yang hadir.
Subhanallah, kalau di atas dunia lagi Allah sudah menunjukkan kemuliaan di hari kematiannya, insyaaAllah segala urusannya selepas ini akan lebih dipermudahkan. Banyak lagi tanda-tanda yang Allah memuliakan pemergian al marhum, antaranya cuaca yang redup dipayungi awan sepanjang perjalanan menghantar al marhum, dan dipermudahkan segala urusan pengebumian al marhum biarpun pada masa itu situasi sungguh sesak dengan ribuan manusia yang hadir untuk mengiringi jenazah al marhum.
Semoga tanda-tanda kebesaran Allah ini menjadi bukti kebenaran barang siapa yang ikhlas berjuang kerana Allah. Semoga ianya turut menjadi pembakar semangat buat kami untuk terus istiqomah dan thabat dalam jalan perjuangan ini. Ya Allah, janganlah Engkau bolak-balikkan hati kami.
Dan sesiapa yang berjuang (menegakkan Islam) maka sesungguhnya dia hanyalah berjuang untuk kebaikan dirinya sendiri; sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatupun) daripada sekalian makhluk.
Surah Al'Ankabut. Ayat 06.
Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).
Surah ArRum. Ayat 06.
Akhir kata, buat murobbi yang hamba kasihi kerana Allah, semoga perjalanan mu ke alam baru ini dipermudahkan dan semoga kubur mu dihiasi dengan keindahan taman-taman syurga dan menjadi tempat istirehat yang damai buat mu sebelum memulakan perjalanan yang lebih jauh. Diri mu berhak memilikinya kerana kamu telah mengorbankan segala kesenangan dunia demi kepentingan perjuangan. Teringat kata-kata TGHH, "pemimpin boleh pergi bila-bila masa sahaja, tapi kepimpinan akan terus bersama kami". Terima kasih Murobbi ku, semoga Allah menerima segala amal baik mu mengampuni dosa-dosa mu, dan merahmati roh mu.