Monday, August 1, 2011

Sekadar Perkongsian


Assalamualaikum WBT...

Untuk post kali ni hambe nak share lah sedikit ilmu berkaitan PUASA memandangkn Ramadhan telahpon tiba...Post ini hambe ambil dpd note kawan hambe dalam FB...mudah2an dpt sesuatu yang bermanfaat dpdnya...InsyaAllah.
_______________________________________________________________________________

PENGERTIAN PUASA DARI SEGI BAHASA DAN ISTILAH SYARA'.

Puasa dari segi bahasa bermakna : menahan daripada sesuatu.
Sebagaimana ayat :-

Maksudnya : Sesungguhnya aku bernazar diam membisu kerana (Allah) Ar-Rahman (setelah aku menyatakan yang demikian) maka aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini.
[ Surah Maryam, Ayat : 26 ]


Maksud dalam ayat ini ialah menahan diri daripada berkata-kata .
Adapun makna dari segi istilah syara` ialah menahan diri daripada nafsu syahwat dan nafsu perut dan dari perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula daripada fajar (masuk waktu subuh ) sehingga terbenam matahari beserta dengan niat untuk berpuasa .

PENGERTIAN HUKUM PUASA
Puasa merupakan kewajipan kepada setiap orang islam berdasarkan kepada Al-Quran , Hadis, Ijmak ulamak dan Qias. Sebagaimana Firman Allah Taala yang berbunyi :

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 183]

Dan berdasarkan kepada firman Allah Taala :
Maksudnya : Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu.
[Surah Al-Baqarah, Ayat : 185]

Di dalam hadis pula disebut , Islam itu terbina di atas lima perkara dan salah satu daripadanya ialah puasa pada bulan Ramadhan . Oleh sebab itu telah bersepakat Ulamak mengatakan puasa itu hukumnya wajib keatas orang islam yang sudah akil baligh ( cukup umur) dan berkuasa . Ianya tidak diwajibkan kepada orang kafir atau orang gila atau kanak-kanak yang belum baligh, tetapi hendaklah dilatih untuk membiasakan diri mereka dengan puasa .

SYARAT-SYARAT WAJIB PUASA
Syarat-syarat wajib puasa adalah :
a) Islam
b) baligh

Sabda Rasulullah s.a.w:
Maksudnya : Tiga golongan terlepas dari hukum: (a) Orang yang tidur sehingga dia bangun (b) Orang gila sehingga dia sembuh (c) Kanak-kanak sehingga dia mencapai umur baligh.(Hadis Riwayat Imam Abu Daud)

c) berakal: Orang yang gila tidak wajib puasa.
d) berupaya(sihat). Orang yang tidak mampu samada kerana tua atau sakit tidak diwajibkan ke atas mereka berpuasa

Firman Allah s.w.t:
Maksud: Sesiapa yang sakit atau sedang dalam perjalanan, maka hendaklah dia berpuasa di hari lain. Allah menghendaki keringanan bagi kamu, dan Dia tidak menghendaki kesukaran ke atas kamu.
[Surah Al-Baqarah, Ayat: 185]

Firman Allah s.w.t:
Maksud: Dan ke atas orang yang mampu tetapi amat payah menunaikannya (kerana tua, lemah atau sebagainya) hendaklah dia membayar fidyah, (iaitu) memberi makan orang miskin.

e) bermukim


SYARAT SAH PUASA
1. Islam. Orang yang bukan Islam tidak sah puasa.
2. Mumayyiz (iaitu dapat membezakan yang baik dengan yang tidak baik).
3. Suci dari haid (darah kotoran) dan nifas (darah setelah melahirkan anak).
Orang yang kedatangan haid atau nifas tidak sah berpuasa tetapi keduanya wajib mengganti (membayar) puasa yang tertinggal itu secukupnya. (Qada': Ialah membayar kewajipan yang ditinggalkan sesudah waktunya, seperti orang yang meninggalkan puasa kerana haid, wajib ke atasnya menebus puasa yang ditinggalkan itu di dalam bulan lain. Kalau ketinggalan 3 hari, wajib ke atasnya qada' 3 hari juga).

Diriwayatkan dari Aisyah r.a, katanya: Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w mengqada' puasa dan tidak disuruhnya untuk mengqada' sembahyang.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)

4. Dalam waktu yang dibolehkan berpuasa.

RUKUN PUASA
a) Niat. Diwajibkan pada tiap-tiap malam, kerana ibadat puasa pada tiap-tiap hari dalam bulan Ramadhan adalah perbuatan yang terpisah di antara hari dengan hari yang lain.
Sebagaimana Hadis Nabi SAW :
Maksud : Sesiapa yang tidak berniat puasa sebelum fajar maka tiada puasa baginya .(Diriwayatkan oleh Ahmad dan Asbus Sunan)

b) Menahan diri dari makan & minum serta perkara-perkara yang membatalkannya

PERKARA-PERKARA YANG MEMBATALKAN PUASA
1) Memasukkan sesuatu kedalam rongga badan dengan sengaja , samaada daripada jenis makanan atau bukan makanan.
2) Makan dan minum dengan sengaja
3) Memuntahkan makanan dengan sengaja.
4) Keempat : Jimak (Bersetubuh)

Sebagaimana Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
Seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w, katanya: Celaka aku, wahai Rasulullah. Nabi s.a.w berkata: Apakah yang mencelakakan engkau? Jawab lelaki itu: Aku telah bersetubuh dengan isteriku pada waktu siang di bulan Ramadan. Rasulullah s.a.w berkata: Sanggupkah engkau memerdekakan hamba? Jawab lelaki itu: Tidak sanggup. Rasulullah s.a.w berkata: Hendaklah engkau berpuasa dua bulan berturut-turut?. Jawab lelaki itu: Tidak mampu. Kata Rasulullah s.a.w: Adakah engkau mempunyai makanan untuk diberikan kepada enam puluh orang miskin?. Jawab lelaki itu: Tidak. Kemudian lelaki itu duduk, sekejap lepas itu datang seseorang kepada Nabi s.a.w dengan memberi satu bakul besar berisi tamar. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Sedekahkanlah kurma ini. Kata lelaki itu: Kepada siapakah?. Kepada yang lebih miskin daripada aku? Demi Allah tidak ada penduduk kampung ini yang lebih berhajat kepada makanan selain dari kami seisi rumah. Nabi s.a.w tertawa sehingga terlihat gigi taringnya dan berkata: Pulanglah, berikanlah kurma itu kepada ahli rumahmu.
(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

5) Keluar Mani dengan sengaja.
6) Keluar darah Haid dan Nifas .
Maksudnya : Dari Aisyah r.a, katanya: Kami disuruh oleh Rasulullah s.a.w mengqada' puasa dan tidak disuruhnya untuk mengqada' sembahyang.(Hadis Riwayat Imam Al-Bukhari)
7) Gila .
8) Murtad terkeluar daripada islam samaada dengan perkataan atau perbuatan atau keyakinan.
Maksudnya : Dan sesiapa di antara kamu yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat.[Surah Al-Baqarah, Ayat : 217]
9) Pengsan atau pitamsepanjang hari ketika berpuasa .

PERKARA-PERKARA SUNAT DALAM PUASA
1) Segerakan berbuka puasa setelah pasti terbenamnya matahari.
Sabda Rasulullah SAW. :
Maksudnya : Manusia akan tetap berkeadaan baik selagi mereka menyegerakan berbuka
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim)
2) Menangguhkan sahur keakhir waktu .
Dalam satu Hadis :
Maksudnya : Sesungguhnya melewatkan bersahur itu adalah sunnah Para Rasul
(Diriwayatkan oleh Ibn. Hibban)
3) Meninggalkan perkataan yang tidak elok , seperti berbohong , mengumpat , menfitnah dan sebagainya daripada perkara-perkara yang haram.
Sabda Rasulullah SAW.
Maksudnya : Barangsiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya maka
Allah tidak mempunyai hajat padanya dalam dia meninggalkan makanan dan minumannya
(puasanya sia-sia)
(Diriwayatkan oleh Al-Bukhari)

HARI-HARI YANG DIHARAMKAN BERPUASA
1) Diharamkan berpuasa pada hari raya AidilFitri dan hari raya AidilAdha. Samada puasa sunat atau pun puasa wajib ataupun nazar .
2) Hari Tasyrik iaitu 11,12,13 Zulhijjah.
3) Puasa sunat pada hari Syak tanpa sebab ataupun berpuasa untuk ramadhan .

HARI SYAK ITU IALAH TIGA JENIS:-
1. Hari yang manusia bercakap padanya telah kelihatan anak bulan tanpa membawa datang si penglihatnya .
2. Hari yang didakwa akan penyaksian anak bulan padanya oleh sesiapa yang tidak diterima penyaksian dan perakuan daripada mereka, seperti kanak-kanak, orang perempuan , orang fasik , hamba dan hari itu jatuh hari ke- 30 Syaaban .
3. Sekiranya kita yakin pada kebenaran dakwaan melihat anak bulan , maka wajib berpuasa , sekiranya membenarkan sahaja tanpa keyakinan maka haru berpuasa , kalau sekiranya syak pada kebenaran dakwaan tersebut maka haram berpuasa padanya

PERKARA MAKRUH KETIKA PUASA
a) Berbekam
b) Mengeluarkan darah
c) Berkucup
d) Merasa makanan
e) Bersugi selepas gelincir matahari
f) Mencium wangian

QADA’ PUASA
Ialah menggantikan puasa yang terbatal pada bulan Ramadhan diatas sebab-sebab yang diharuskan berbuka oleh syara’
Hukum Qada’ Puasa Ramadhan
Wajib menggantikan puasa Ramadhan bagi yang membatalkan puasa Ramadhannya samaada kerana keuzuran ataupun tanpa sebarang keuzuran

Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Waktu Qada’ Puasa Ramadhan
Waktunya selepas bulan Ramadhan sehingga ke bulan Ramadhan yang berikutnya walaubagaimanapun qada’ puasa yang dilakukan dalam masa dilarang berpuasa adalah tidak sah contohnya seperti di hari raya.
Adapun bagi orang yang mengakhirkan qada’ Ramdhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi maka ia wajib qada’ dan membayar fidyah.

KIFARAH PUASA
Ialah seseorang yang merosakkan puasanya dalam bulan Ramadhan dengan jalan melakukan jima’ maka ia wajib membayar kifarah (denda) iaitu si suami wajib mengeluarkan kifarah & qada’ puasa yang terbatal kerana jima’ walaubagaimanapun si isteri tidak wajib mengeluarkan kifarah tetapi wajib qada’ puasa yang terbatal.

Kifarah bagi puasa yang batal atau rosak ialah :
1) Membebaskan seorang hamba yang beriman
2) Jika tiada hamba untuk dibebaskan, wajib ke atasnya berpuasa 2 bulan berturut-turut
3) Jika tidak mampu berpuasa, wajib dia memberikan makan 60 orang fakir miskin setiap seorang
mendapat secupak makanan asasi negeri itu.

FIDYAH
Ialah bayaran denda dengan memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) dengan sebab-sebab tertentu atau mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi. Satu cupak bersamaan dengan 620 gram.

Hukum Fidyah
Wajib di keluarkan berdasarkan Firman Allah Ta’ala :
Maksudnya : “(Puasa yang diwajibkan itu ialah) beberapa hari yang tertentu maka sesiapa diantara kamu yang sakit atau dalam musafir (bolehlah ia berbuka) kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain dan wajib ke atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tuanya dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin (secupak bagi tiap-tiap satu hari yang tidak dikerjakan puasa) maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang di tentukan itu maka itu adalah suatu kebaikan baginya dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu (daripada memberi fidyah) kalau kamu mengetahui ”. (Surah Al-Baqarah Ayat 184)

Sebab-sebab wajib Fidyah
1) Tidak mampu melakukan ibadah puasa
2) Sakit yang tidak mampu untuk sembuh
3) Perempuan hamil atau menyusukan anak iaitu jika berpuasa mendatangkan mudharat kepada anak
yang di kandung dan boleh mengurangkan air susu
4) Mengakhirkan qada’ Ramadhan tanpa uzur sehingga Ramadhan yang berikutnya datang lagi.

Rujukan :
1) Al-Quranul Karim.
2) Al-Feqhul Muyassar

No comments:

Post a Comment

Picture magnified

Haddad Alwi Doa'ku